MENURUNNYA KEIMANAN ITU, BUKAN ALASAN UNTUK BERSEDIHAN...
Iman sifatnya Yazid wa yanqus. Yazid berasal dari perkataan zada bermaksud tambah. Yanqus berasal dari perkataan Naqasa bermaksud berkurang. Iman itu sifatnya bertambah dan berkurang, naik dan turun.
Itulah dia resminya kita. Hamba Allah SWT.
Ada masa terjatuh juga. Ada masa tersungkur juga.
Dan bila jatuh dan tersungkur itu, jiwa akan sedih meronta-ronta.
“Kenapa begini? Kenapa begini?” Kita akan tertanya-tanya. Seakan-akan kita merasakan betapa amal kebaikan kita tidak bermakna. Amal, amal, amal kemudian berdosa semula. Buat baik, buat baik, buat baik, nanti tersungkur juga.
Akhirnya kita memilih untuk meninggalkan kebaikan. Katanya sudah tiada harapan.
Sebenarnya, kita tidak mengerti bahawa, di dalam kejatuhan iman itu sendiri, ada hikmah besar yang tersembunyi.
Orang-orang yang beriman bukan sempurna
Orang yang beriman itu tidak sempurna. Walaupun dia beriman kepada Allah SWT, tetap ada waktunya dia akan tersungkur jatuh melakukan kesilapan. Adakala kesilapannya besar, adakala kesilapannya kecil. Hatta orang-orang yang alim dan kelihatan seperti malaikat juga ada waktu-waktu kurangnya. Tinggal terzahir atau tidak sahaja.
Ini dibuktikan dengan kisah Abu Dzar RA dan Bilal bin Rabah RA. Apabila satu ketika, Abu Dzar RA memanggil Bilal: “Hoi Anak Hitam” dan kemudian Rasulullah SAW menegur: “Wahai Abu Dzar, sesungguhnya pada dirimu masih ada jahiliyyah”
Ya. Ada kalanya kita dah rasa stabil, rasa keimanan kita meninggi, ada kalanya kita akan terleka dan terlalai. Lantas alpa menolak kita ke gaung kesilapan.
Dan ketahuilah, kesilapan itu sendiri adalah satu ujian.
Dan di dalam ujian itu ada hikmah yang besar daripada Ar-Rahman.
Hikmah satu kejatuhan
Ada kata-kata hikmah berbunyi:
“Hanya si buta mengetahui nikmatnya melihat, hanya si mati mengetahui nikmatnya kehidupan”
Di sinilah tersembunyinya hikmah yang besar mengapa Allah SWT menjadikan keimanan manusia itu berbentuk naik dan turun.
Supaya manusia belajar menghargai keimanan mereka.
Manusia yang telah menyentuh kelazatan iman, apabila mereka tersasar dari landasan keimanan itu, mereka akan rasa kekosongan, rasa kekurangan. Di sinilah bagi yang jiwanya sensitif, akan bangkit segera memperbaiki diri. Dan apabila mereka bangkit, mereka akan bangkit dengan lebih tinggi dari sebelum kejatuhan mereka.
Allah mencipta kitaran Iman sedemikian rupa, agar yang terbaik mampu dihasilkan.
Sebab itu, bumi ini tidak diberikan kepada malaikat untuk mentadbirnya. Tetapi Allah berikan kepada manusia yang pasti akan melakukan kesilapan, tertarik-tarik antara kebaikan dan kefasadan untuk metadbirnya.
Hal ini kerana, hanya yang pernah jatuh, mengetahui kepentingan berada di tempat yang tinggi. Justeru, manusia yang beriman apabila mereka jatuh, mereka akan rasa sebahagian besar kenikmatan hidup mereka tertarik keluar. Di sini, Allah menguji mereka, Allah menapis mereka.
Siapakah antara hamba Allah yang terbaik dalam melangkahi ujian ini?
Dan orang yang benar keimanannya akan bangkit. Bergerak. Memperbaiki diri dan meningkat lebih tinggi.
Hanya orang yang keimanannya palsu, akan terus tunduk dan berputus asa. Jatuh lebih ke bawah dari yang sebelumnya.
Lihatlah Mereka itu
Kembali kepada kisah Abu Dzar, apabila dia ditegur oleh Rasulullah SAW tadi, dia bingkas meletakkan wajahnya ke tanah. Menjerit meminta Bilal memijaknya. Hatinya gentar dengan keimanannya yang menurun. Lantas bergerak memperbaiki dirinya. Dan kita mengetahui bahawa Abu Dzar adalah antara sahabat termulia di sisi Rasulullah SAW.
Lihatlah pula kepada Ka’ab bin Malik, apabila beliau terleka hingga meninggalkan Peperangan Tabuk. Lantas dia sedar akan kesilapannya, tidak pula dia putus asa untuk menjadi baik apabila Rasulullah menghukumnya. Bahkan dia menjadi manusia yang lebih baik dari sebelumnya, hingga Allah menurunkan ayat Al-Quran secara terus mengampunkannya.
Lihatlah pula kepada Umar Al-Khattab, dia pada suatu hari membawa Taurat untuk dijadikan rujukan dan Rasulullah SAW marah kepadanya. Selepas itu lihatlah Umar bagaimana dia bergerak menjadi seorang yang sangat tegas atas Al-Quran dan Sunnah. Menjadi lebih baik dari sebelumnya.
Lihatlah pula kepada Handzalah dan Abu Bakr RA, apabila mereka merasakan diri mereka telah terlalai dari mengingati Allah SWT, lantas mengumumkan bahawa diri mereka telah menjadi munafiq dan menangis-nangis kecewa. Ditegur oleh Rasulullah SAW bahawa perkara itu adalah biasa jika ianya tidak berpanjangan. Dan lihatlah kemudiannya di mana tempat mereka di dalam keimanan. Naik lebih tinggi dari sebelumnya.
Oh, apakah orang-orang yang jatuh itu tidak melihat, bahawa kejatuhan mereka itu hakikatnya adalah pengajaran halus daripada Allah SWT?
Penutup: Bila jatuh, jangan kecewa. Lekas naik semula jangan banyak bicara
Justeru, bila jatuh, bila melakukan kesilapan, bila melakukan dosa, jangan pula rasa tersangat kecewa hingga tiada harapan langsung untuk kita.
Lihatlah betapa hakikatnya, kejatuhan itu adalah untuk mengajar diri kita, mendidik jiwa kita, agar lebih menghargai keimanan kita, menghargai hubungan kita dengan Allah SWT.
Kejatuhan itu sendiri, adalah salah satu bentuk kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya untuk memberikan peluang kepada mereka tertingkat dengan lebih tinggi lagi.
Maka jangan banyak bicara, jangan berduka terlalu lama, bangkitlah dengan mengambil pengajaran apabila jatuh itu.
Biar bangkit lebih tinggi dari kebangkitan sebelumnya.